Saturday, November 15, 2008

Jika manusia suka mengampu

Pada kali ini saya ingin membincangkan tentang manusia yang suka mengampu dan diampu. Tentu perkara ini sudah menjadi kebiasaan pendengar yang wujud dalam persekitaran melibatkan persaingan.

Memang perkara ini tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak pun. Ternyata perbuatan mengampu sudah menjadi trend masyarakat kini yang ingin mendapatkan sesuatu yang mereka hajati dengan cara yang cepat dan mudah.

Bukan sahaja melibatkan indivudu yang bekerja malah dalam pengajian juga. Hal ini berlaku dalam suasana kehidupan saya. Bukanlah niat iri hati atau cemburu dengan kelebihan yang diperolehi, tetapi adakah wajar jika keistimewaan itu diberikan jika tugas yang dilakukan adalah sama rata?

Sikap pilih kasih pensyarah bukanlah hal yang baru dalam dunia pendidikan masa kini. Terdapat pensyarah yang pilih kaum sejenis, ada yang pilih jika pelajar memberikan hadiah kepadanya, dan ada yang pilih kasih dengan pelajar yang rapat dengan dirinya.

Adakah suasana ini boleh menjamin kelahiran graduan yang berkualiti pada masa hadapan? Markah yang tinggi untuk mereka yang mempunyai hubungan baik dengan pensyarah. Hal ini bukan auta tetapi realiti yang berlaku di mana-mana universiti pun.

Kebetulan perkara ini berlaku dalam hidup saya. Namun, atas nasihat ibu,saya terima sahaja keadaan itu dan anggap itu rezeki masing-masing. Tetapi sampai bila fikiran kita hendak disogokkan dengan ideologi seperti itu.

Bila tiba perkara seperti ini, semuanya berkata.."sudah rezeki dia"..namun, adakah mereka fikir, itu merupakan salah satu bentuk rasuah yang diharamkan oleh agama Islam.

Kerana perkara seperti inilah masyarakat Melayu mundur kerana bukan persaingan kelebihan yang menjadi ukuran tetapi persaingan memberikan habuan yang banyak untuk memenangi hati individu lain.

Walau apapun yang berlaku, ia tetap telah berlaku. Saya harap individu yang memberi rasuah, mengampu dan si penerima dapat memikir baik buruk masa depan mereka.

Mudah-mudahan saya dijauhi dari perkara sedemikian. Wallahu'alam.

No comments: